KASIH SAYANG IBU BAPA
Pada zaman serba moden ini, mengapakah nilai kasih sayang dalam diri masyarakat kita semakin berkurang? Isu ibu bapa diabaikan kerap berlaku bak cendawan tumbuh selepas hujan. Di manakah hilangnya nilai kasih sayang anak-anak kepada ibu bapa mereka?
Tepuk dada tanyalah selera, adakah ibu bapa kita tidak kasih pada kita. Kasih sayang ibu bapa pada anak-anak tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit. Saat ibu kita mengandung dan melahirkan kita ke dunia ini, pada waktu itulah kasih sayang itu bermula. Kesusahan ibu melahirkan dan membesarkan kita merupakan tanda kasih sayang mereka pada kita. Oleh itu, sedarlah kita bertapa bertuahnya kita kerana mempunyai ibu dan bapa yang menyayangi kita.
Selain itu, ibu dan bapa juga bertungkus-lumus membesarkan kita. Mereka membelanjakan wang ringgit yang banyak semata-mata untuk menyara kita. Mereka tidak pernah sekali pun merungut atas kesusahan untuk menampung kos kehidupan anak-anak. Mereka bukan sahaja sanggup berkorban demi kita, malahan menjaga kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.
Di samping itu, untuk memastikan anak-anak berjaya sehingga menara gading, ibu bapa berusaha untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada kita. Misalnya, mereka menghantar kita ke sekolah untuk mendapat pendidikan. Selain itu, mereka juga mendidik kita dengan agama yang sempurna supaya kita menjadi orang yang berakhlak.
Tatkala kita ditimpa musibah, merekalah yang setia di sisi kita. Contohnya, ketika kita sakit, ibu bapa kita yang akan menjaga dan menemani kita. Ketika itu, mereka juga menjadi doktor kita. Siang dan malam mereka berjaga kerana risau akan kesihatan anak-anak mereka. Oleh itu, apabila kita dewasa kelak, pastikan kita menjaga mereka seperti mereka menjaga kita.
Kesimpulannya, sayangilah kedua-dua orang tua kita kerana tanpa mereka kita tidak mungkin hidup di dunia ini. Ungkapan seorang ibu pasti boleh menjaga sepuluh orang anak, jelas menunjukkan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
**Boleh meninggalkan komen kalian di bawah. Terima kasih membaca dan menjadikan rujukan.